Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, perkara itu telah dipersetujui Kabinet dan turut mendapat galakan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Malah, menurutnya, ketika ini pihak kementerian sedang me­ninjau projek perintis pemasangan lampu jenis itu yang telah dilaksanakan di beberapa buah kawasan luar bandar di daerah Semporna untuk penilaian lanjut.

“Di daerah ini (Semporna), kita sudah mula pasang lampu LED sejak awal tahun ini membabitkan 202 unit dengan peruntukan RM1 juta. Kita sedang pantau projek ini dari segi pelaksanaan penggunaannya.

“Kita akan dapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk orang ramai berhubung pemasangan lampu tersebut. Bagaimanapun, untuk memperluaskan pemasangan lampu jenis itu ke kawasan lain, ini bergantung kepada peruntukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Undian Berkomputer bagi projek infrastruktur awam dan projek infrastruktur asas daerah Semporna tahun 2015 di Dewan Masyarakat Semporna, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pegawai Daerah, Dr. Chacho Bulah.
Seramai 259 orang kontraktor Kelas F layak mengikuti cabutan tersebut melibatkan 46 buah projek.

Ketika ini, kos penyelenggaraan lampu-lampu jalan biasa di kawasan luar bandar di seluruh negara adalah sebanyak RM41 juta.

Mohd. Shafie memberitahu, lampu LED dilihat cukup terang dengan kadar silau yang jauh lebih rendah berbanding lampu-lampu biasa yang dipasang ketika ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau meminta kontraktor Kelas F supaya sentiasa meningkatkan pengalaman dan kemahiran bagi menjadi seorang usahawan atau pemaju berjaya.

Beliau kemudian mahu golongan itu supaya menjadikan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary sebagai contoh untuk terus mencipta kejayaan, biarpun bermula dengan modal kecil di peringkat permulaan.

“Jangan fikir kontraktor Kelas F tak boleh berkembang maju. Tan Sri (Syed Mokhtar) juga bermula dengan modal yang kecil tetapi berkat usahanya, beliau kini antara terkaya di negara ini.

“Apa yang penting, laksanakan projek-projek yang diperoleh itu dengan baik dan berkualiti. Kita perlu banyak kawan, bukannya banyak musuh. Syukur dengan apa yang dimiliki dan jangan tamak,” tegasnya.