Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, antara langkah yang telah diambil bagi tujuan tersebut termasuk memastikan suhu di bangunan kerajaan di seluruh negara tidak rendah daripada 24 darjah Celsius.
Selain itu, Maximus berkata, langkah menggantikan lampu sedia ada dengan lampu jenis LED yang menjimatkan tenaga turut dilaksanakan.

“Ini dilakukan kerajaan untuk memastikan bekalan elektrik yang dijana adalah digunakan secara berhemah melalui program kecekapan tenaga,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian stesen janakuasa baharu milik TNB Janamanjung Sdn. Bhd. (TNB Janamanjung), Manjung 4 di Seri Manjung, di sini hari ini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan me­rasmikan stesen janakuasa tersebut yang bernilai RM6 bilion itu.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie; Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir.Azman Mohd. dan Pengarah Urusan TNB Janamanjung, Shamsul Ahmad.

Manjung 4 Yang berkapasiti 1,000 Megawatt (MW) itu menyumbang kepada kestabilan Sistem Grid Nasional selain membantu meningkatkan keupayaan penjanaan TNB Janamanjung kepada 3,100 MW sekali gus meletakkannya sebagai pengeluar tenaga bebas terbesar di Semenanjung.

Tambah Maximus, selain memastikan tenaga elektrik digunakan secara berhemah, negara juga sedang menerokai pelbagai sumber tenaga boleh diperbaharui dalam usaha meningkatkan penjanaan tenaga berkenaan sebanyak 2,080 MW kapasiti terpasang iaitu 7.8 peratus daripada keseluruhan kapasiti terpasang menjelang 2020 di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Justeru, katanya, tindakan agresif sedang dilakukan termasuk melalui pembinaan kemudahan tenaga solar berkapasiti besar yang mampu meningkatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 1,000 MW dalam tempoh empat tahun bermula tahun depan.

“Kita juga sedang membangunkan loji-loji biojisim atau biomass yang menjana biogas dan juga loji geothermal bagi menghasilkan tenaga elektrik.
“Melalui semua inisiatif ini kita berharap akan berjaya mencapai sasaran menjana 2,080 kapasiti terpasang daripada tenaga boleh diperbaharui menjelang 2020,” katanya

Pada masa sama Maximus berkata, kerajaan juga sedang berusaha untuk memastikan sektor pengangkutan negara dinyahkarbon dengan menggalakkan penggunaan ken­deraan elektrik.

“Ini bukan sahaja dapat mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil yang menghasilkan gas rumah hijau, malah dapat mengurangkan perbelanjaan operasi penyelenggaraan,” katanya