FRANKFURT - Kerajaan Malaysia mengenal pasti diod pemancar cahaya (LED) sebagai teknologi yang mempunyai masa depan cerah dari segi daya maju komersil berbanding beberapa jenis teknologi bersih seperti fotovoltan tenaga solar, tenaga angin dan kenderaan elektrik. 

Dengan mengambil kira potensi pertumbuhannya, kerajaan menyokong syarikat LED dan pencahayaan lampu padat (SSL) dan membantu mereka menembusi pasaran global bagi memastikan industri LED Malaysia berkembang selari dengan permintaan dunia.

Permintaan dijangka berkembang 34 peratus menjelang 2020. Malaysia berusaha menjadi negara pengeluar utama LED di Asia. 

Dalam temu bual dengan Bernama pada hari pertama Pameran Frankfurt, Datuk Hafsah Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, berkata SME Corp merupakan projek permulaan yang boleh membawa keuntungan dalam elektrik/elektronik Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), dengan penekanan ke atas segmen LED/SSL.

"Segmen LED/SSL mencatat pertumbuhan dua angka walaupun kuantiti yang dieksport oleh Malaysia masih kecil. Teknologi LED/SSL merupakan bentuk tenaga paling cekap untuk mengurangkan komponen karbon dioksida. LED digunakan secara meluas hari ini," katanya.
   
"PKS membantu memperkukuh kedudukan Malaysia dalam sektor LED. Malaysia mengeksport produk ini. Kami di sini bukan hanya untuk berbincang mengenai produk dan teknologi, malah menggalakkan syarikat mendapat pendedahan kepada produk dan perkhidmatan yang diketengahkan pada pameran 'Life+Building',” katanya.

SME Corp melihat 'potensi hebat' produk LED dalam pasaran pesat membangun, termasuk China, India, Afrika dan Timur Tengah.

Acara rantaian SME Corp itu dihadiri arkitek, pereka cipta, pengedar dan peruncit.    

Eksport LED dimuatkan dalam perangkaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kumpulan produk elektrik dan elektronik. 

“Asia Tenggara, termasuk Malaysia, merupakan rantau yang penting untuk kami, Jumlah pelawat dari Hong Kong, Taiwan, Singapura, Korea Selatan dan negara lain semakin meningkat," kata Baerwalde. 

- Bernama

Source :http://www.sinarharian.com.my/bisnes/malaysia-kenal-pasti-potensi-led-1.267102