KERAJAAN Malaysia mengenal pasti diod pemancar cahaya (LED) sebagai teknologi yang mempunyai masa depan cerah dari segi daya maju komersial berbanding beberapa jenis teknologi bersih seperti fotovoltan tenaga solar, tenaga angin dan kenderaan elektrik.

Dengan mengambil kira potensi pertumbuhannya, kerajaan menyokong syarikat LED dan pencahayaan lampu padat (SSL) dan membantu menembusi pasaran global bagi memastikan industri LED Malaysia berkembang selari dengan permintaan dunia.

Permintaan dijangka berkembang 34 peratus menjelang 2020. Malaysia berusaha menjadi negara pengeluar utama LED di Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Datuk Hafsah Hashim berkata, projek permulaan yang boleh membawa keuntungan dalam elektrik/elektronik Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), dengan penekanan ke atas segmen LED/SSL.

“Segmen LED/SSL mencatat pertumbuhan dua angka walaupun kuantiti yang dieksport oleh Malaysia masih kecil.

Teknologi LED/SSL merupakan bentuk tenaga paling cekap untuk mengurangkan komponen karbon dioksida. LED digunakan secara meluas hari ini.

“PKS membantu memperkukuh kedudukan Malaysia dalam sektor LED. Malaysia mengeksport produk ini. Kami di sini bukan hanya untuk berbincang mengenai produk dan teknologi, malah menggalakkan syarikat mendapat pendedahan kepada produk dan perkhidmatan yang diketengahkan pada pameran ini,”  katanya dalam temu bual dengan Bernama pada hari pertama Pameran Frankfurt.

SME Corp melihat potensi produk LED dalam pasaran pesat membangun, termasuk China, India, Afrika dan Timur Tengah.

Walaupun eksport LED Malaysia kecil, ramai pelawat perdagangan Jerman pada pameran itu yakin eksport akan meningkat pada masa depan.

Pameran enam hari anjuran Messe Frankfurt GmbH, ialah acara teknologi perkhidmatan berkaitan bangunan dan pencahayaan terbesar di dunia.


Source : http://www.sinarharian.com.my/bisnes/led-teknologi-bernilai-tinggi-1.267260